Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

BY AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

“Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

“Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: