Dasar Penswastaan Perkhidmatan Air Di Malaysia Gagal

KENYATAAN AKHBAR KHAMIS, 15 MAC 2012

DASAR PENSWASTAAN PEKHIDMATAN AIR DI MALAYSIA GAGAL: SELANGOR BERITAHU FORUM AIR SEDUNIA KE-6

Menteri Besar Selangor memberitahu Forum Air Sedunia kali keenam hari ini bahawa penswastaan perkhidmatan air di Malaysia gagal kerana telah disalahgunakan untuk memanfaatkan golongan rentier  menggunakan kos yang ditanggung pengguna.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

“Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik,” kata Menteri Besar.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing,

“Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna,” katanya.

“Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya,” katanya yang menambah,  kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

“Perjanjian ini sepatutnya memasukkan  fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita, penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama.

“Jelas penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya. Persoalan dihadapi kerajaan negeri adalah sama ada penswastaan berkesan dan jika ya, bagaimana melakukannya? Di Malaysia, perkhidmatan air digunakan oleh golongan rentier, pelopor penswastaan tempatan dan pembuat dasar politik menggunakan hubungan yang sedia ada.

Beliau berkata, jalan penyelesaian ialah dengan merawat air secara holistik dan Kerajaan Negeri telah berusaha melakukannya seperti termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan mengejut Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

“Apabila tiba masa Kerajaan Negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan,” katanya.

Menteri Besar menjelaskan Kerajaan Negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi  bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.


Beliau menekankan bahawa kepentingan politik menjadi faktor penghalang kepada perubahan ini. Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri  segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

“Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri telah dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami,” katanya.

Menteri Besar antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan ‘Towards Better Water Governance’ yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

Ini kali pertama Kerajaan Negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air. Menteri Besar dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

Disediakan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: